6 AMALAN KEBERSIHAN RUMAH



Dalam dunia semakin sibuk dan kebanyakan ibu bapa bekerja, hari ini anak-anak lebih banyak menghabiskan masa dengan pembantu rumah.

Biasanya pembantu rumah warga asing terutama yang masih muda, tidak mempunyai pengetahuan asas yang betul mengenai penjagaan kebersihan anak-anak dan kawasan rumah.

Jadi, anda perlu memberi tunjuk ajar kepada mereka mengenai cara menjaga kebersihan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini seperti keracunan makanan atau pembiakan haiwan berbahaya seperti tikus.

Berikut beberapa panduan untuk melatih pembantu rumah dengan amalan kebersihan dapur, bilik air, alat permainan, haiwan peliharaan dan makanan.

1. DAPUR 

Dapur adalah tempat paling baik untuk mengajar pembantu rumah mengenai amalan menjaga kebersihan.

Ini kerana dapur terdedah kepada kekotoran kerana makanan dimasak di dapur. Kegagalan memastikan dapur bersih akan menggalakkan pembiakan kuman yang boleh membawa kepada keracunan makanan.

2. KEBERSIHAN MAKANAN 

Beri penerangan mengenai pengendalian bahan makanan, bermula dari pusat beli belah, kaedah penyimpanan, penyediaan makanan dan memasak.

Cara selamat mencegah kerosakan makanan termasuk:

* Sebelum membeli bahan makanan, ajar dia cara-cara memeriksa tarikh luput pada pembungkus makanan.
* Apabila sampai di rumah, semua makanan perlu segera disimpan dengan membuat pengasingan antara makanan mentah dengan yang sudah dimasak.
* Teknik ini juga perlu diamalkan ketika menyediakan makanan. Misalnya, papan pemotong yang digunakan untuk memotong ayam atau daging mentah perlu dicuci dengan pembersih tanpa toksik sebelum digunakan untuk memotong makanan lain.
* Pastikan permukaan dapur bebas kuman dan kering sebaik saja selesai memasak. Cuci tempat memasak, papan pemotong, sinki, peti sejuk dan peralatan dapur dengan bahan tanpa toksik sekerap mungkin.

3. HAIWAN PEROSAK

Jangan lupa haiwan perosak seperti lalat, tikus, lipas dan ulat suka pada tempat kotor di dapur.

Panduan ini dapat mengelakkan pembiakannya:

* Tukar tuala lap tangan dan alas meja setiap hari.
* Elak daripada meninggalkan sisa makanan atau minyak.
* Sentiasa kosongkan tong sampah dan bersihkannya sebelum meletakkan plastik sampah yang baru.

4. BILIK AIR

Bilik air juga tempat yang perlu diberi perhatian kerana pembiakan kuman lebih cepat di tempat lembab dan berair.

Kajian mendapati, bilik air yang kotor adalah punca kuman penyakit bahaya seperti demam jangkitan viral dan ciritbirit.

Bagaimanapun, bilik air perlu dibersihkan dengan pencuci bahan anti-kuman kerana bakteria tidak kelihatan pada mata kasar.

Beberapa panduan yang dicadangkan ketika di bilik air ialah:

* Basuh tangan selepas menggunakan bilik air
* Tutup penutup mangkuk tandas selepas pam air ditarik bagi mengelakkan kuman merebak ke tempat duduk.
* Gunakan pembersih tandas tanpa toksik bagi menghilangkan kuman degil. Tandas duduk perlu dibersihkan beberapa kali sehari dengan span dan pastikan sentiasa kering.
* Basuh tirai mandi setiap minggu kerana kekotoran yang melekat, menyebabkan kuman membiakkan dengan mudah.

5. KEBERSIHAN ANAK-ANAK

Sistem imunisasi kanak-kanak tidak menjamin apa-apa jika persekitaran kotor kerana mereka mudah mendapat jangkitan penyakit.

Pembantu rumah perlu dilatih untuk memastikan alat mainan, haiwan peliharaan dan ruang bermain anak bersih.

* Alat mainan - Alat mainan kanak-kanak perlu sentiasa dicuci dengan pembersih pembunuh kuman tanpa toksik dan dikeringkan di bawah cahaya matahari.

* Haiwan peliharaan - Walaupun haiwan peliharaan jinak dan nampak bersih, ia juga boleh menjadi punca penyebaran kuman penyakit di kalangan kanak-kanak. Bagi mengelakkannya, ikuti panduan ini:

* Basuh tangan anak selepas dia bermain dengan haiwan itu.
* Pastikan haiwan peliharaan anda bersih dan dimandikan selalu.
* Pastikan tempat tidur, tikar dan alat permainan haiwan peliharaan bersih.
* Tempat kumbahan haiwan peliharaan perlu dibersihkan selalu.

6. KEBERSIHAN DIRI SENDIRI

Pembantu rumah bukan saja memastikan kebersihan rumah dan anak tetapi mereka juga perlu menjaga kebersihan diri sendiri, kelihatan kemas dan menarik.

Beberapa panduan ini mungkin membantu:

* Tekankan kepada mereka kepentingan membasuh tangan selepas memasuki tandas atau menggunakan peralatan seperti alat berkebun, berus tandas atau penyapu.
* Ajar cara membasuh tangan yang betul iaitu gunakan sabun, gosok tangan hingga hilang kotoran selama 15 minit, pastikan tiada kekotoran di celah kuku, bilas tangan dengan air bersih dan lap hingga kering.
* Pilih pakaian yang sesuai untuk pembantu rumah iaitu yang bersih dan kelihatan menarik. Ini bagi memastikan pakaian itu tidak digunakan bagi mengelap rumah selain memberi keseronokan mereka bekerja.
* Ajar pembantu anda mengenai kebersihan bilik air iaitu tidak berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi dan tuala muka.
* Tukar tuala mandi sekurang-kurangnya sekali seminggu.
* Kerap mencuci muka dan rambut

Post a Comment

Previous Post Next Post